skip to Main Content

ADA APA DENGAN BULAN MUHARRAM?

1- Ia merupakan salah satu ‘bulan Haram’.

عَنِ ابْنِ أَبِي بَكْرَةَ، عَنْ أَبِي بَكْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ الزَّمَانُ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ ‏
Abu Bakrah radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Zaman telah beredar sebagaimana keadaannya pada hari penciptaan langit dan bumi. Setahun itu ialah dua belas bulan. Daripadanya terdapat empat bulan haram: Tiga yang berturut-turut iaitu: Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Al-Muharram, dan bulan Rejab pula yang berada antara Jamadil AKhir dan Sya’ban [Sahih al-Bukhari, Kitab Bad’I al-Khalq, hadis no: 3197]

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّہُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَہۡرً۬ا فِى ڪِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡہَآ أَرۡبَعَةٌ حُرُمٌ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ‌ۚ فَلَا تَظۡلِمُواْ فِيہِنَّ أَنفُسَڪُمۡ‌ۚ وَقَـٰتِلُواْ ٱلۡمُشۡرِڪِينَ كَآفَّةً۬ ڪَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمۡ ڪَآفَّةً۬‌ۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ (٣٦)
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa. (Al-Tawbah : 36)

2- Apakah amalan yang perlu dilakukan dalam bulan Muharram?

Secara umumnya, kita digalakkan membanyakkan amal ibadah dalam bulan-bulan haram. Khususnya pula, dalam bulan Muharram terdapat dalil-dalil khusus untuk membanyakkan puasa di dalamnya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، – رضى الله عنه – قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ ‏”‏ ‏.‏
Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa dalam bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat sunat di waktu malam.
[Sahih Muslim, Kitab al-Siyyam, Bab Fadhl Sawm al-Muharram, hadis no : 1163]

Lebih-lebih lagi kita digalakkan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram.

Puasa 10 Muharram/Asyura
Abu Qatadah al-Ansari radiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Puasa hari ‘Asyura, aku berharap agar Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya.
[Sahih Muslim, Kitab al-Siyyam, Bab Istihbab Siyam Tsalasah Ayyam Min Kulli Shahr wa Sawm Yaum ‘Arafah wa ‘Asyura wa al-Isnain wa al-Khamis, hadis no: 1162]

Puasa 9 Muharram
‘Abdullah bin ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa di hari ‘Asyura dan menyuruh manusia berpuasa padanya. Para sahabat berkata: Ya Rasulullah. Sesungguhnya ia merupakan hari yang orang Yahudi dan Kristian agungkan. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Pada tahun hadapan, Insya-Allah kita akan berpuasa pada hari kesembilan Muharram. Akan tetapi, pada tahun berikutnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah meninggal dunia.

[Sahih Muslim, Kitab al-Siyyam, Bab Ayyu Yaum Yusomu Fi ‘Asyura, hadis no: 1134]

3- Usah cemari bulan mulia ini dengan dosa.

Shaikh Abdul Aziz bin Marzuq al-Tharifi berkata:

الأشهر الحرم ذو القعدة وذو الحجة ومحرم ورجب،
Bulan-bulan haram adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab.

المعصية والطاعة فيهن أعظم من غيرهن (فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ)
Kemaksiatan dan ketaatan di dalam bulan-bulan tersebut lebih besar daripada di bulan-bulan lain. Firman Allah: “Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu pada bulan-bulan tersebut” [Al-Tawbah : 36].

وإذا عظمت المعصية فيهن فالطاعة أعظم.
Apabila kemaksiatan menjadi besar di dalam bulan-bulan haram, maka ketaatan lebihlah besar.

 


Sumber : Ust Mohd Masri Mohd Ramli

 

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top