skip to Main Content

ADAKAH YAHUDI & NASRANI JUGA MASUK SYURGA?

Soalan:

Adakah Yahudi dan Nasrani juga masuk syurga?

Jawapan:

Pertama: Jika si Yahudi atau Nasrani yang hidup di zaman Nabi mereka, iaitu Nabi Musa dan Nabi Isa alaihimassalam mati dalam keadaan beriman kepada Nabi mereka maka mereka masuk syurga. Ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ :

وافترقت اليهود على إحدى وسبعين فرقة فواحدة في الجنة…وافترقت النصارى على ثنتين وسبعين فرقة فواحدة في الجنة…

Yahudi berpecah kepada 71 kelompok dan satu sahaja yang masuk syurga…dan Nasrani berpecah kepada 72 kelompok dan satu sahaja yang masuk syurga… [ HR Ibnu Majah ]

Demikian juga hadis Ibnu Abbas dalam Sahih Al-Bukhari, Nabi ﷺ bersabda ketika dibentangkan umat manusia di mahsyar kelak :

وَرَأَيْتُ سوادا كَثِيرًا سَدَّ الْأُفُقَ، فَرَجَوْتُ أَنْ تَكُونَ أُمَّتِي، فَقِيلَ : هَذَا مُوسَى وَقَوْمُهُ

” Aku melihat golongan yang sangat ramai menutup ufuk, aku mengharapkan mereka adalah umatku, maka dikatakan kepadaku: Inilah Musa dan kaumnya…”

Wajah dalalah dalam hadis ini jelas iaitu setiap kaum yang beriman kepada Nabi mereka akan dihimpunkan bersama dengan Nabi mereka di padang Mahsyar kelak maka ini menunjukkan mereka yang beriman kepada Nabi mereka juga akan masuk syurga.

Kedua: Jika Yahudi dan Nasrani itu hidup setelah zaman Nabi Musa dan Isa alaihimassalam sebelum pengutusan Nabi Muhammad ﷺ mereka mengikuti ajaran Nabi Musa dan Isa demikian juga Nabi-Nabi Bani Israil yang lain maka mereka mati tanpa kufur dan mensyirikkan Allah maka mereka akan masuk syurga.

Ketiga: Jika Yahudi dan Nasrani itu hidup setelah zaman Nabi mereka iaitu Musa dan Isa alaihimassalam dan sempat sezaman dengan Nabi Muhammad ﷺ lalu mereka beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ maka jika mereka mati dalam keadaan tersebut mereka masuk syurga, jika sebaliknya mereka tidak beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ maka mereka masuk neraka berdasarkan sabda Nabi ﷺ :

والذي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بيَدِهِ، لا يَسْمَعُ بي أحَدٌ مِن هذِه الأُمَّةِ يَهُودِيٌّ، ولا نَصْرانِيٌّ، ثُمَّ يَمُوتُ ولَمْ يُؤْمِنْ بالَّذِي أُرْسِلْتُ به، إلَّا كانَ مِن أصْحابِ النَّارِ

Demi jiwa Muhammad yang berada dalam tanganNya, tidaklah seseorang di kalangan umat ini sama ada Yahudi atau Nasrani yang mendengar tentang (pengutusan)ku kemudian dia mati dalam keadaan tidak beriman dengan apa yang telah diutuskan kepadaku melainkan dia termasuk di kalangan penghuni neraka.

[ HR Muslim ]

Wajah dalalahnya jelas kerana Nabi Musa dan Nabi Isa alaihimassalam telah pun mengkhabarkan kepada mereka akan kedatangan Nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana yang termaktub dalam Taurat dan Injil. Jika mereka tidak beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ maka mereka termasuk dalam ancaman hadis di atas.

Wallahu’alam.

 


 

Sumber : Ust. Mohd Fashan

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top