BELUM LAGI SYURGA

Belum Lagi Syurga….
.
.
Masih segar di ingatan, minggu pertama di Madinah, menumpang keberkatan para pencinta al Quran, kami diberi peluang untuk masuk ke Raudhah, impian setiap jiwa yang bertandang ke Masjid Nabawi yang mulia


ما بين بيتي ومنبري رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ

“Di antara rumahku dan mimbarku ada raudhah min riyadhil Jannah (sebuah taman di antara taman-taman surga.”
.
.
Saat menjejakkan kaki ke lapangan terbang Madinah, permit untuk masuk ke Raudhah melalui aplikasi eatamarna telah ditutup. Maksudnya semua slot penuh! Namun, benarlah, Dia Yang Maha Mengurniakan Rezeki…


Entah siapalah doa antara mereka yang diangkat Dia, tulus ikhlas memohon kepada yang Maha Esa…Rombongan kami 33 orang wanita seluruhnya. Senarai nama dihantar penuh teliti, untuk pastikan semua nama tidak terkecuali. Takdir Dia, 2 orang dari kami tidak dapat turut serta. Jadi kami mencari-cari lagi kenalan untuk memenuhi kuota ’tiket’ yang ada…
Usai solat isyak, masing-masing berkumpul di tempat yang dijanjikan. Teruja, namun ada gusar juga. Doa tak putus dipanjatkan pada Yang Maha Esa, agar benar-benar kami dipilih Dia untuk masuk ke Raudhah sana…


“Tunggu di Pintu 38, Pintu Makkah (salah satu pintu Masjid Nabawi) sekitar jam 10malam. Nanti akan ada petugas jumpa kamu di sana…”


Satu jam menanti, tiada satu pun kelibat yang hadir. Kami terus menanti bersama pengharapan yang tak putus pada Ilahi. Hati kian gundah. Mana taknya, sebenarnya selepas maghrib, mereka mencadangkan kami untuk masuk ke Raudhah dua hari lagi dek kepadatan manusia yang punya permit malam itu…Namun selepas merayu, mereka bersetuju untuk benarkan kami masuk juga ke situ…


“Kami sudah di pintu Makkah. Jam berapa agaknya pegawai akan jumpa di sini?” Hanya memberanikan diri untuk mendapat kepastian…


“Kamu belum masuk lagi? sepatutnya pegawai tu dah jumpa kamu dari tadi lagi?” Ah, sudah! ini benar-benar mendebarkan.


Tiba-tiba fon berdering, panggilan dari Pegawai Tinggi Masjid Nabawi… “Assalamualaikum. Ahlan Wasahlan. Saya Sarah. InsyaAllah sebentar lagi ada pegawai datang kepada kamu. mereka cuba menghubungi kamu tetapi gagal. kerana nombor Malaysia kamu tidak aktif. Saya telah berikan nombor saudi kamu kepada mereka…” Lantas aku berdiri… Melihat wajah-wajah yang menanti dari tadi, sedikit sebanyak mengganggu emosi.


“Kalian Malizi? Siapa Illeya Ibrahim?” Aku terus menoleh… “Kamu sahaja ikut saya. Yang lain tunggu dulu sini..” Ah, satu lagi detik mencemaskan.


Jujurnya aku bukan insan yang fasih berbahasa arab. Jadi bagaimana nanti jika ada yang aku tak faham? bagaimana pula kalau aku tak mampu sampaikan dengan baik apa yang kami perlukan?


Jalan yang singkat itu rasanya teramat panjang…Degup jantung kian laju tanpa arah tuju, air peluh juga menitis laju setanding getar di kalb


Seorang demi seorang aku jumpa untuk mengesahkan senarai nama yang ada, jumlah yang benar-benar layak bersama. Bukan itu sahaja, satu demi satu strategi dirangka, untuk mengelak perebutan dengan insan lain, hanya kerana satu tujuan, masuk ke taman syurga atas dunia!


“Kami semua pakai nametag ini…” berkali-kali aku ulang, gusar andai ada yang tercicir di belakang.


“Kamu dah faham? kena lalu sini, jangan lalu sini. kena beratur begini, orang seperti ini depan, yang lain belakang…” dan satu demi satu arahan diterima untuk memudahkan laluan ke Raudhah, taman syurga.


Aku pergi mendapatkan mereka yang telah lama menanti. Satu persatu arahan kami turuti. berkali-kali mengira bilangan, berkali-kali berpesan, berkali-kali mengingatkan, agar tidak sedikit pun yang tertinggal.


Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah


Berjujuran air mata saat melangkah masuk ke taman syurga…masing-masing dengan doa dan rintihan sendiri. nafsi-nafsi…hanya diri dan Ilahi…mengadu pada Rabbi, mendamba keampunan dan keredhaan buat diri dan insan tersayang…
SubhanAllah, ini benar nikmat yang sungguh indah!


Ya, ini baru sahaja di dunia…


Belum lagi di syurga, kita sudah tercari-cari insan tersayang untuk bersama.


Belum lagi di syurga, kita sudah gusar andai tidak terpilih untuk masuk ke sana..


Belum lagi di syurga, kita tak putus merayu hingga impian tidak tertunda.


Belum lagi di syurga, kita tetap sahaja sedaya upaya berusaha jejak ke Raudhah di dunia.


Belum lagi di syurga, satu persatu strategi diteliti untuk meredah lautan manusia.


Belum lagi di syurga, hati gusar dan gundah andai ada pertanyaan yang tak mampu dijawab sebaiknya.


Belum lagi di syurga, tidak sedikit yang mencuba namun akhirnya tetap sahaja rezeki dari Dia.


Bagaimana pula nanti, saat pertama kali kita menjejakkan kaki ke syurga firdausi yang abadi?


Tuhan, ampuni, rahmati dan pilihlah kami.


p/s : salah satu pintu menuju ke Raudhah untuk wanita, di Pintu 24, Pintu Uthman Bin Affan… 1 Ramadan yang lalu, pintu ini dibuka seluasnya untuk setiap insan dalam Masjid Nabawi itu masuk tanpa sebarang sekatan mahupun permit yang perlu dipohon…Maka berbondong-bondonglah insan berusaha masuk ke dalamnya.


Saat ini, Ramadan ini, pintu syurga dibuka seluasnya dan pintu neraka ditutup serapatnya…Moga kita semua berbondong-bondong juga berusaha sekerasnya untuk masuk ke Syurga, bersama rahmat dan kasih sayang darinya…

#MasjidNabawi

Kredit Kisah ini dari Illeya Ibrahim : https://www.facebook.com/groups/249567828801379/permalink/1342176229540528/

238Izzat Amsyar, ZF Zamir and 236 others18 Comments26 SharesLikeCommentShare

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *