skip to Main Content

BENARKAH DAKWAAN MAKKAH ASALNYA DI PETRA JORDAN?

Soalan: Benarkah dakwaan mengatakan Makkah dan kiblat pertama orang islam berasal di Petra Jordan bukan di Arab Saudi sekarang? Mohon penjelasan Ustaz dengan ringkas.

Jawapan:

Dakwaan ini adalah antara percubaan golongan ekstrimis di kalangan kristian dan mulhidin (ateis) yang cuba menimbulkan keraguan dalam sejarah Islam yang sudah mutawatir dan makruf.

Antara yang mengemukakan dakwaan dusta ini ialah Dan Gibson, penulis sejarah kelahiran Kanada. Dan Gibson menulis dalam bukunya ” Early Islamic Qiblas” yang diterbitkan pada tahun 2017 mendakwa Petra di Jordan merupakan kiblat pertama kaum muslimin, kemudian dakwaan ini disambut dan disebarkan oleh golongan jahil dan di kalangan malahidah arab (ateis arab).

Dakwaan dusta Dan Gibson ini telah dibantah oleh Sejarawan British David A.King yang mempunyai hasil tulisan dan kajian yang sangat banyak berkenaan kiblat Umat Islam dan kaitannya dengan ilmu astronomi. David A.King telah pun membantah dakwaan Dan Gibson ini dan menjelaskan apa yang dikemukakan oleh Dan Gibson ini tidak dibina di atas fakta dan ilmu yang benar dan hanyalah bersifat falasi yang bertujuan untuk berkhidmat demi kepentingan gerakan kristianisasinya.

Demikian juga Sejarawan Amerika Mark Anderson dalam artikelnya ” Is Mecca Really the Birthplace of Islam?” telah membantah dakwaan Dan Gibson ini dengan menyifatkan dakwaan ini sangat jauh dari fakta dan kebenaran.

Anderson berdalilkan dengan enam fakta utama untuk menyanggah dakwaan Dan Gibson yang mengatakan kiblat pertama umat Islam itu adalah Petra dan menegaskan Kaabah yang ada di Makkah sekarang adalah kiblat terawal umat Islam:

1. Penjelasan dalam Al-Quran.
2. Bukti-bukti bertulis pada zaman terawal.
3. Penjelasan hadis berkenaan Makkah.
4. Arkib Arkeologi
5. Tarikh Al-Tabari
6. Geografi Makkah.

Perlu diberikan perhatian, walaupun Mark Anderson ini membantah pendustaan jelas Dan Gibson ini, beliau juga ada kesalahan iaitu dengan mendakwa Nabi Muhammad ﷺ hidup di Petra dan bukan di Makkah!.

Kesimpulannya keenam-enam fakta yang dikemukakan oleh Anderson itu adalah benar dalam menolak keraguan yang cuba ditimbulkan oleh Dan Gibson.

Jawapan David A.King dan Mark Anderson sudah cukup untuk menyokong ijmak kaum muslimin dan selain mereka berkenaan Makkah yang makruf ada sekarang di Arab Saudi adalah kiblat terawal kaum muslimin.

Wallahu’alam.

 


 

Sumber : Ust. Muhammad Fashan Ahmad Ziadi

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top