skip to Main Content
+6019 419 1829
Di Manakah Miqat Ahli Mekah

Di Manakah Miqat Ahli Mekah

ADAKAH MIQAT UMRAH BAGI PENDUDUK MEKAH HANYA DI TANAH HALAL TAN’IM ATAU BOLEH DI MANA-MANA TANAH HALAL SELAINNYA?

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Semasa menunaikan ibadah umrah dahulu, saya ada mendengar bahawa miqat umrah bagi penduduk Mekah atau mereka yang sedang berada di Mekah ialah mereka perlu berniat daripada tanah halal sekalipun bukan di Tan’im. Benarkah begitu ? Dan sekiranya benar, yang manakah paling baik untuk berniat ihram? Mohon pencerahan Datuk Mufti.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Miqat terbahagi kepada dua, iaitu miqat zamani, yang bermaksud tempoh yang sah berihram haji dan miqat makani, yang bermaksud sempadan sesuatu tempat yang tidak harus dilampaui oleh seseorang yang mengerjakan ibadah haji kecuali setelah berihram.

Miqat makani bagi seseorang yang datang dari luar Mekah, yang ingin mengerjakan ibadah umrah adalah sama sepertimana ibadah haji. Daripada Ibn Abbas RA, katanya :

أنَّ النبيَّ ﷺ وقَّتَ لأهْلِ المَدِينَةِ ذا الحُلَيْفَةِ، ولِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، ولِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنازِلِ، ولِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لأهْلِهِنَّ، ولِكُلِّ آتٍ أتى عليهنَّ مِن غيرِهِمْ مِمَّنْ أرادَ الحَجَّ والعُمْرَةَ، فمَن كانَ دُونَ ذلكَ، فَمِنْ حَيْثُ أنْشَأَ، حتّى أهْلُ مَكَّةَ مِن مَكَّةَ.

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW menetapkan Zulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah, Juhfah bagi penduduk Syam, Qarnu al-Manazil bagi penduduk Najad, Yalamlam bagi penduduk Yaman, miqat-miqat ini adalah untuk penduduknya dan penduduk negeri yang lain yang melaluinya untuk mengerjakan haji dan umrah. Sesiapa yang tinggal di kawasan selepas miqat tersebut, berihramlah di tempat dia memulakan perjalanannya, sebagaimana penduduk Makkah berihram di Makkah itu sendiri.”Riwayat al-Bukhari (1530)

Kesemua miqat tersebut ialah miqat bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah, yang datang dari luar Makkah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131)

Miqat umrah bagi penduduk Mekah

Sementara mereka yang ingin mengerjakan umrah semasa berada di Makkah sama ada mereka penduduk Makkah atau orang asing, mereka wajib keluar dari Tanah haram untuk berihram umrah ke Tanah halal yang terdekat walaupun selangkah. Namun, jika berihram di Makkah, umrahnya tetap sah, tetapi wajib membayar dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131) Hal ini adalah sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata :

يا رَسولَ اللَّهِ، اعْتَمَرْتُمْ ولَمْ أعْتَمِرْ، فَقالَ : يا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، اذْهَبْ بأُخْتِكَ، فأعْمِرْها مِنَ التَّنْعِيمِ، فأحْقَبَها على ناقَةٍ فاعْتَمَرَتْ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, kamu semua sudah menunaikan umrah sedangkan aku masih belum. Kemudian baginda bersabda : ‘Wahai Abdurrahman, pergilah bersama saudaramu ini dan mulakanlah umrah dari Tan’im.’ Maka, Abdurrahman menaikkan Aisyah ke atas untanya, kemudian Aisyah melaksanakan umrah.” Riwayat al-Bukhari (1518) dan Muslim (1211)

Di dalam riwayat lain, datang dengan lafaz :

اخْرُجْ بأُخْتِكَ مِنَ الحَرَمِ، فَلْتُهِلَّ بعُمْرَةٍ

Maksudnya : “Keluarlah bersama saudara perempuanmu ini dari Tanah haram Mekah, kemudian lakukanlah ihram umrah (niat umrah).” Riwayat al-Bukhari (1560)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan lafaz di atas menyatakan bahawa padanya terdapat dalil, bagi sesiapa yang sedang berada di Mekah dan berkeinginan mengerjakan ibadah umrah, maka miqatnya adalah Tanah halal yang paling dekat. Tidak boleh untuk dia berniat ihram umrah dari Tanah haram.

Sekiranya dia menyalahinya iaitu tetap berniat ihram umrah dari tanah haram, kemudian dia keluar ke Tanah halal sebelum melakukan tawaf, umrahnya diterima dan tidak dikenakan dam ke atasnya. Akan tetapi, sekiranya dia tidak keluar ke Tanah halal tetapi terus melakukan tawaf, saie dan bercukur. Terdapat dua pendapat dalam isu ini. Pendapat yang pertama, umrahnya tidak sah sehinggalah dia keluar ke Tanah halal, kemudian tawaf, saie dan bercukur. Manakala pendapat yang kedua, umrahnya sah tetapi dia dikenakan dam. Menurut Imam al-Nawawi pendapat yang kedua adalah pendapat yang sahih.

Para ulama mengatakan bahawa diwajibkan bagi mereka yang mahu mengerjakan ibadah umrah untuk keluar ke Tanah halal adalah supaya terhimpun di dalam tatacara umrahnya antara tanah halal dan haram sebagaimana orang yang mengerjakan ibadah haji telah menghimpunkan dua tempat tersebut di dalam manasik (tatacara) haji mereka.

(Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/151)

Mengenai perkara ini, Imam Malik juga ada menyebutkan bahawa :

فَأَمَّا الْعُمْرَةُ مِنَ التَّنْعِيمِ، فَإِنَّهُ مَنْ شَاءَ أَنْ يَخْرُجَ مِنَ الْحَرَمِ، ثُمَّ يُحْرِمَ. فَإِنَّ ذلِكَ مُجْزِئٌ عَنْهُ، إِنْ شَاءَ اللهُ. وَلَكِنِ الْفَضْلُ أَنْ يُهِلَّ مِنَ الْمِيقَاتِ الَّذِي وَقَّتَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، وَهُوَ أَبْعَدُ مِنَ التَّنْعِيمِ

Maksudnya : “Adapun mengerjakan umrah dari Tan’im, yakni seseorang yang berkeinginan melakukannya hendaklah keluar dari Tanah haram, kemudian  berniat ihram (dari sana). Dan perkara itu, sudah memadai buatnya, Insya-Allah. Akan tetapi, yang paling baik (afdhal) ialah dia berniat ihram dari miqat-miqat yang telah ditentukan oleh Rasulullah SAW iaitu lebih jauh dari Tan’im.” (Lihat al-Muwatta’,3/504)

Begitu juga Ibn Qudamah mengatakan di dalam kitabnya, sekiranya penduduk Mekah atau sesiapa yang sedang berada di Mekah mahu mengerjakan ibadah umrah, hendaklah memulakannya (berniat ihram umrah) dari Tanah halal dan sekiranya mahu mengerjakan ibadah haji, niat ihramnya adalah dari Mekah (Tanah haram). Tidak kira sama ada mereka bermukim di Mekah ataupun bukan kerana sesiapa yang melalui miqat tersebut dikira sebagai tempat miqat baginya… Tidak kami ketahui adanya perselisihan (khilaf ulama) mengenai perkara ini. (Lihat al-Mughni, 3/246)

Mengenai keutamaan antara tanah halal dan miqat, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff ada menyatakan di dalam kitabnya bahawa miqat penduduk Mekah dan sesiapa yang sedang berada di Mekah, bagi mengerjakan ibadah umrah ialah  tanah halal yang paling dekat tanpa mengambil kira dari arah mana pun. Tempat miqat yang paling baik (afdhal) ialah dari Ji’ranah. Kemudian, Tan’im dan barulah Hudaibiyah.

Tambah beliau lagi, Ji’ranah ialah tempat Nabi SAW pernah berniat ihram umrah darinya. Manakala Tan’im ialah tempat miqat yang Nabi SAW perintah Aisyah R.Anha untuk berniat ihram darinya dan Hudaibiyah ialah tempat yang baginda SAW berkehendak untuk berniat ihram darinya.

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 490)


Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa tempat berniat ihram (miqat) bagi ibadah umrah buat penduduk Mekah dan sesiapa yang sedang berada di sana ialah dari tanah halal Mekah, walau dari arah mana sekalipun. Oleh itu, sesiapa yang berkeinginan mengerjakan ibadah umrah dari kalangan penduduk Mekah atau orang asing yang berada di sana, hendaklah berniat ihram umrah dari mana-mana tanah halal, kemudian bertawaf, saie dan bercukur atau bergunting (bertahallul).

Walau bagaimanapun, tempat yang paling baik dan afdhal untuk berniat ihram umrah (mengikut keutamaan) ialah dari Ji’ranah, kemudian Tan’im, kemudian Hudaibiyah dan akhir sekali barulah dari mana-mana tanah halal selain tiga tempat yang telah disebutkan di awal tadi.

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Pesekutuan

 

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.
Lain-lain

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top