skip to Main Content

DIA SA’AD

Sa’ad bin Abi Waqqas r.a (wft56H) merupakan salah seorang daripada Ahli Syura dan sepuluh orang sahabat Nabi yang DIJAMIN SYURGA.

Sa’ad dikenali sebagai Panglima perang yang hebat, seorang pemanah tepat dan doanya juga tepat (mustajab). Jika beliau berdoa maka doanya akan dimakbulkan. Ketika zaman Khalifah Al-Rasyidin beliau bertanggungjawab memimpin tentera Islam dalam banyak kempen pembukaan di Iraq khususnya penaklukan ke atas empayar Parsi.

Selepas berlakunya fitnah pembunuhan Uthman r.a yang apinya dinyalakan oleh Abdullah bin Saba’ Al-Yahudi sehingga menatijahkan perselisihan dan peperangan antara kaum muslimin pada era Khalifah Ali b.Abi Talib r.a Sa’ad termasuk sahabat Nabi yang menjauhi dan mengasingkan dirinya dari fitnah.

Ketika berlaku majlis Tahkim (perdamaian) antara pihak Ali bin Abi Talib dan Muawiyyah r.a Sa’ad didatangi oleh anaknya Umar, anaknya itu datang bertujuan mengajak agar bapanya itu menjadi ketua dan pemimpin bagi perselisihan yang berlaku, beliau berkata kepadanya:

يا أباه،أرضيت أن تكون أعرابيا في غنمك والناس يتنازعون في الملك بالمدينة؟

” Wahai ayahku, adakah engkau reda menjadi seorang badwi bersama kambing ternakanmu dalam keadaan manusia saling berselisih dalam urusan kepimpinan di Madinah? “

Mendengar kata-kata anaknya itu Sa’ad memukul dada anaknya sambil berkata:

اسكت فإني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:

Diamlah!!, sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

“إن الله يحب العبد التقي الغني الخفي”

” Sesungguhnya Allah menyintai hamba yang BERTAKWA, MERASA CUKUP, dan MENYEMBUNYIKAN AMALAN KEBAIKAN (Menyibukkan diri dengan Ibadah dan urusan khususnya di saat fitnah)”

[ Sahih Muslim 8/214, Musnad Ahmad 1/168, Al-Bidayah wa An-Nihayah 7/313 ]

Begitulah sebenarnya sikap dan pendirian Sa’ad bin Abi Waqqas r.a di saat maraknya fitnah perpecahan, walaupun beliau salah seorang dari kalangan sahabat Nabi yang senior dan antara yang paling layak untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku antara kaum muslimin ketika itu namun dia sentiasa merasa CUKUP dengan kedudukannya, tidak tamak dan rakus untuk menjadi PEMIMPIN dan yang paling utama Sa’ad tetap mendahulukan Sabda Nabi ﷺ di atas kehendak anaknya itu.

Jika itu pendirian seorang sahabat Nabi yang besar di zaman tersebut selayaknya kita pada zaman ini lebih bersikap berhati-hati. Semoga kita dikurniakan Allah rasa takwa, cukup dan sentiasa menyibukkan diri dengan Ibadah dan urusan khusus kita dengan Allah Ta’ala.

 


 

Sumber : Ust.Mohd Fashan

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top