skip to Main Content

INILAH HUSAIN!

Imam Husain bin Ali bin Abi Talib, cucunda kesayangan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, penghulu bagi pemuda-pemuda ahli syurga. Beliau lahir, tumbuh, dan dididik di atas akidah Islam yang murni. Beliau hakikatnya adalah Imam Ahli Sunnah wal Jamaah dan tidak pernah terpalit langsung dengan bidaah Syiah Rafidhah sehinggalah beliau pergi menemui Allah.

Husain inilah yang anaknya (Ali bin Husain) mengatakan: ” Wahai penduduk Iraq, cintailah kami dengan kecintaan Islam jangan kalian cintai kami dengan kecintaan asnam (keberhalaan), sentiasalah kecintaan (palsu) kalian itu terhadap kami berterusan sehinggalah ia mencemari nama baik kami “

[ Syarh Usul ‘Itiqad Ahli Sunnah hal 1398 ]

Husain inilah ketika datang menemuinya beberapa Syiah Iraq lalu mereka mengeji dan mengatakan sesuatu yang buruk terhadap Abu Bakar, Umar dan Uthman lalu beliau bertanyakan mereka: ” Apakah kalian ini termasuk dari kalangan Muhajirin yang terawal (menerima Islam) yang dikeluarkan dari negeri mereka (Makkah) dan meninggalkan harta benda mereka semata-mata mengharapkan kurniaan dan keredaan Allah, mereka membantu agama Allah dan mereka itulah orang-orang yang benar?” mereka menjawab: ” tidak “

Tanya Husain lagi: ” Apakah kalian ini termasuk mereka yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidaklah pula ada dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada mereka yang berhijrah itu dan mereka mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan berhajat. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya sendiri daripada dipengaruhi tabiat bakhilnya sendiri mereka itulah orang yang berjaya?”. [ Al-Hasyr:9 ]

Mereka menjawab: “Tidak”

Kata Husain: ” Aku bersaksi bahawa kamu tidak termasuk dari kalangan mereka yang Allah katakan: ” Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian dari kalangan mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.

Sambung Husain: Berambuslah kalian dariku, semoga Allah tidak memberkati kalian, tidak mendekatkan langkah kalian, kalian adalah kaum yang mempersendakan Islam, kalian bukan termasuk ahlinya!.

[ Tarikh Madinah Dimasyq Ibnu Asakir jil 41 hal 390 ]

Agama Husain adalah agama tauhid bukan syirik, agama Hussain adalah solat, puasa, zakat, haji, jihad, kebajikan, berbakti kepada kedua ibu bapa, kecintaan dan wala’ terhadap datuknya dan kedua sahabat dan wazirnya Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan seluruh sahabatnya. Sedangkan agama Syiah Rafidhah adalah syirik, bidaah, khurafat, menampar dan mencederakan badan, penuh kedengkian terhadap Islam dan ahlinya serta hanyalah dipenuhi kisah-kisah dongeng dan khurafat.

Asyura itu adalah hari kesyukuran, hari yang diselamatkan Musa dan orang beriman daripada Firaun dan tenteranya. Yahudi berpuasa dan bersyukur, Nabi bersabda kita lebih berhak menghormati Musa berbanding mereka lalu baginda memerintahkan ia disyukuri dengan berpuasa. Asyura itu adalah hari kesyukuran dan pengampunan bukan sebaliknya bagi Syiah ia adalah hari kesedihan, jeritan, tangisan dan ratapan memukul-mukul badan serta mencela penghulu orang-orang beriman (sahabat Nabi).

Bagi Ahli Sunnah, Husain dibunuh secara zalim dan syahid kerana sabda Nabi: Hasan dan Hussain penghulu bagi syabab ahli syurga. Mereka tidak sesekali bergembira apatah lagi bersedih, meratap dan memukul badan sehingga berdarah namun mereka reda dengan ketentuan Al-Rahman serta jauh sekali mengikuti langkah-langkah syaitan.

 


 

Sumber : Ust. Mohd Fashan

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top