skip to Main Content
+6019 419 1829

KELIRU : NAK KE MADINAH DAHULU ATAU KE MAKKAH DAHULU?

 

“Ustaz, ana kelirulah ustaz. Nak masuk mana dulu? Madinah dulu ke Makkah dulu?”

“Mana lagi bagus?”

 Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya tidak ada ketetapan khusus, nak ke mana dahulu. Sama ada ke Makkah dahulu atau ke Madinah dahulu. 

Sebenarnya ia tertakluk kepada diri kita sendiri. Keutamaan kita, rasa hati kita, dan juga pilihan Allah untuk kita.

Secara asasnya, tidak banyak beza sama ada masuk ke Makkah dahulu atau ke Madinah dahulu.

Namun, kita cuba perturunkan sebab-sebab dan bagaimana membuat pilihan. 

Baik, mari kita tengok pilihan yang ada. 

Jika kita mahu masuk ke Makkah dahulu, ini antara sebab yang boleh membantu kita buat pilihan :

1) Kita belum pernah datang ke Tanah Suci. Dah tak sabar dan tak mampu tahan nak jumpa bertamu di rumah Allah. Rindu sangat-sangat. 

2) Kita banyak dosa, dan kita sangat-sangat bimbang Allah akan tarik nyawa kita sebelum kita sempat buat umrah.

3) Kita menunaikan haji, namun dapat tarikh yang hampir dengan tarikh Wuquf. Maka automatik akan masuk ke Makkah dahulu.

4) Kita membuat istikharah, dan nampak pilihan ke Makkah itu lebih baik. 

 


Jika kita mahu masuk ke Madinah dahulu pula, ini antara sebab yang boleh membantu kita buat pilihan :

1) Kita sudah terlalu rindu kepada Rasulullah s.a.w. Tidak mampu terucap dengan kata-kata. Selama ini membayangkan dan membaca sahaja segala-galanya tentang Nabi. 

2) Para ulama berkata, lebih afdhal ke Madinah dahulu. Dari segi adabnya, kita bertemu Rasulullah dahulu barulah bertemu Allah. 

3) Di Madinah, ada kekasih Allah yang membantu makbulnya doa-doa kita. Dengan berkat Rasulullah, doa kita lebih mudah makbul. 

4) Kita mengambil laluan umrah ziarah ke tempat lain dahulu sebelum ke Tanah Suci melaksanakan umrah. Kebiasaannya, jika pakej umrah ziarah, akan masuk ke Madinah terlebih dahulu. Hal ini kerana selepas berziarah ke tempat lain, jemaah perlu mengumpulkan tenaga untuk melaksanakan umrah di Makkah. Jika sebaik sahaja ziarah, jemaah terus ke Makkah menunaikan umrah, dibimbangi jemaah terlalu penat. Di Madinah lebih tenang dan kurang tenaga diperlukan untuk beribadat.

5) Kita menunaikan haji, dan mendapat tarikh keberangkatan yang masih jauh daripada hari Wuquf. 

Sudah jelas? Sudah tahu nak ke Madinah dahulu atau ke Makkah dahulu?

Jika masih sukar buat pilihan, buatlah istikharah. Moga-moga, ada jalan yang cerah. Moga-moga pilihan lebih terarah. 

 

 

Sumber : https://tiphajiumrah.blogspot.com/2020/10/keliru-nak-ke-madinah-dahulu-atau-ke.html?fbclid=IwAR3VfSBYhDUj94WGKLojBgNr6KHMpd7Iu46XNn6zRpT-De0SlQsqhloSLOo

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.
Lain-lain

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top