skip to Main Content

KOS MENGERJAKAN HAJI MENINGKAT KEPADA RM 25,000

KUALA LUMPUR – Kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat kepada RM25, 000 berikutan cukai nilai tambahan yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata, cukai itu telah meningkat pada 2018 dengan kadar lima peratus dan telah dinaikkan ke 15 peratus pada tahun lepas.

“Maka pada tahun ini akan terkesan daripada kenaikan percukaian ini dan kita mengambilkira beberapa faktor yang lain.

“Jadi dengan itu kos haji pada ketika ini dengan mengambil kira percukaian dan sebagainya adalah pada kadar RM25, 000, ” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah cukai itu tidak mengambilkira lagi pelaksanan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Arab Saudi hingga memberi impak terhadap kos mengerjakan haji.

Namun katanya, kadar bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara masih belum ditetapkan.

Untuk rekod bayaran yang perlu ditanggung oleh jemaah haji adalah sebanyak RM9,980 dan tidak pernah dinaikkan sejak 2009.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Saleh berkata, pihaknya telah membuat persiapan awal dengan mengambil kira norma baharu dalam urusan pengendalian operasi di tanah air termasuk persediaan di stesen-stesen berlepas di seluruh negara.

Katanya, ia turut meliputi persiapan daripada segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan, hukum hakam ibadah dan sebagainya di tanah suci Mekah dan Madinah.

“Walaupun sehingga kini masih tiada kepastian tentang pelaksanaan haji tahun ini, TH perlu mengambil langkah untuk bersedia.

“Kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi kerjaan Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji negara yang dibenarkan untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima pada tahun ini,” ujarnya.

Tambah beliau, TH menjangkakan SOP dan protokol kesihatan musim haji yang ketat akan dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi meliputi penjarakan fizikal di bangunan penginapan, pengangkutan dan pelaksanaan ibadat dalam memastikan keselamatan para jemaah haji dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, TH menasihati bakal haji bersedia menerima sebarang perubahan terkini dan kemungkinan terdapat peraturan-peraturan baharu yang dipekenalkan oleh TH dan pihak berkuasa Arab Saudi kesan daripada pandemik Covid-19.

Sementara itu Syed Saleh menasihati kesemua 31,600 bakal jemaah haji yang telah menerima surat tawaran untuk menunaikan haji pada musim lalu agar segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 sebagaimana disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, anggota TH di pejabat cawangan seluruh negara bersedia membantu urusan pendaftaran bakal haji khususnya yang berusia dan tidak mempunyai akses internet secara langsung.

Bakal haji juga diminta bersedia untuk mengambil suntikan wajib meningococcal apabila dipanggil KKM kelak supaya proses pengambilan vaksin Covid-19 seterusnya berjalan lancar dan memenuhi sela masa yang ditetapkan.


Sumber : https://malaysiagazette.com/2021/03/26/kos-mengerjakan-haji-meningkat-rm25000/?fbclid=IwAR1DU-Qmx3gDjN5pJylIUnrEeCOsIAdfajUSHD8f3nqfEvW2ZyS6mwlHB80

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top