PENTINGNYA PERANAN SEORANG WANITA

| Pentingnya peranan seorang wanita.

Sewaktu di Riyadh, kami menyempatkan diri untuk menziarahi situs bersejarah kota Diriyyah yang terletak di barat kota Riyadh dan pernah menjadi ibu kota kerajaan Arab Saudi yang pertama. Sebagai informasi, kerajaan Arab Saudi yang ada saat ini adalah kerajaan yang ketiga setelah kejatuhan dua kerajaan Arab Saudi sebelumnya.

Sejarahnya, di tempat ini ada seorang Amir bernama Muhammad bin Saud yang mengetuai sebuah kampung yang memiliki hanya lebih kurang 40 buah rumah sahaja di Diriyyah ketika itu.

Disaat yang sama pula, Syekh Muhammad bin Abdul Wahab datang ke kota Diriyyah memohon perlindungan dari Amir Muhammad Saud setelah terusir dari kota Uyainah yang diancam akan diperangi oleh kabilah-kabilah arab kerana dakwah tauhidnya yang memerangi kesyirikan yang telah meresap ke jiwa masyarakat arab serta usaha beliau yang ingin menegakkan syariat islam kembali setelah ditinggalkan oleh masyarakat jazirah arab untuk sekian lama.

Muhammad bin Saud sempat ragu pada mulanya untuk memberikan perlindungan kepada Syekh Muhammad At-Tamimi, ini kerana beliau hanya memimpin sebuah kabilah di sebuah kampung yang kecil sahaja, disisi yang berlainan di luar sana banyak kabilah-kabilah besar yang memusuhi dakwah Syekh At-Tamimi ketika itu.

Namun, di sinilah isteri Muhammad Saud memainkan sebuah peranan yang penting, beliau menasihati suaminya dengan sebuah motivasi yang membangkitkan semangat beliau: “Bergembiralah wahai suamiku, Allah telah menganugerahkan sebuah harta perbendaharaan kepadamu. Seorang pendakwah yang menyeru kepada Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Ya, dia mendakwahkan keduanya. Bangkitlah! Tolonglah dia!”

Muhammad bin Saud lalu menjawabnya: “Baiklah.
Semoga Allah menggembirakanmu dengan syurga wahai isteriku.”

Secara singkat, setelah beristikharah dan meminta petunjuk Allah, atas nasihat isterinya Muhammad Saud memutuskan untuk membaiat Syekh Muhammad At-Tamimi sebagai tuan guru bagi kabilahnya dan berjanji untuk mempertahankan beliau dari segala ancaman dari luar.

Keputusan Amir Muhammad Saud sendiri bukan tanpa halangan, seperti mana pemimpin Uyainah sebelumnya, Usman bin Muammar yang diancam oleh kabilah-kabilah disekitarnya sehingga Usman terpaksa mengusir Syekh Muhammad At-Tamimi di bawah tekanan yang begitu kuat, Muhammad Saud juga diancam akan diperangi oleh kabilah-kabilah arab yang memusuhi dakwah Syekh At-Tamimi, paling terlihat permusuhannya adalah dari Sulaiman Al-Humaidi, pemimpin Ahsa’ (sebuah kabilah besar ketika itu), hinggakan dalam pelbagai peperangan, anak-anak Muhammad bin Saud sendiri ada yang terbunuh dalam mempertahankan dakwah Syekh At-Tamimi.

Akhirnya, dengan kesungguhan dan izin Allah subhanahu wa ta’ala, sedikit demi sedikit kota Diriyyah yang ketika itu hanya terdiri dari sebuah perkampungan dengan tanah yang kering dan tandus, berkembang menjadi sebuah kerajaan yang besar dan dilimpahi dengan pelbagai hasil bumi seperti mana yang dapat kita lihat pada hari ini bernama Kerajaan Arab Saudi.

Pelajaran penting yang dapat kita ambil dari kisah di atas, begitu pentingnya peranan seorang isteri dalam meneguhkan dan membangkitkan semangat suami mereka. Dengan izin Allah dan kemudian motivasi isteri Amir Muhammad bin Saud kepada suaminya, Kerajaan Arab Saudi dapat tertegak dengan megah hingga saat ini dan menjalankan syariat islam serta menyebarkan dakwah pemurniaan akidah yang melahirkan ribuan bahkan jutaan ulama’ yang berdakwah untuk mengajak masyarakat kembali beribadah hanya kepada Allah ta’ala semata tanpa menyekutukan-Nya di seluruh dunia.

Bak kata pepatah seperti mana yang kita selalu dengar: Di sebalik seorang lelaki yang hebat, ada wanita yang lebih hebat lagi di belakangnya yang sentiasa mendorongnya, mendukung dan meneguhkan setiap keputusan yang diambilnya, memberinya semangat, serta memotivasinya selalu, selalu berada bersamanya di saat senang mahupun dalam keadaan susah.

Semoga kita dianugerahkan dengan pasangan hidup yang solehah seperti ini insha Allah.

Sumber: https://kisahmuslim.com/4877-wanita-di-balik-istana.html

Untuk info lebih lanjut Panduan Umrah dan Haji yang lengkap dan terkini, download aplikasi UmrahHaji.com di GooglePlay, Apple Appstore, dan Apps Galeri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *