Hati ini seakan senang tersentuh apabila membaca tentang peristiwa 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11 Hijrah.
Mana-mana buku Sirah Nabawiyyah pasti akan membawa para pembaca dan pencinta Nabi ﷺ jauh mendalami perasaan dan suasana sekeliling sebelum tibanya hari dan saat tersebut.
Bermula dengan tanda-tanda perpisahan. Nabi ﷺ mula memberi beberapa pesanan dan tanda tentang pemergiannya. Antara pesannya, yang ditakuti bukanlah umatnya itu jatuh syirik, tetapi sikap berlumba-lumba merebut dunia. Nak dibawa ke mana dunia ini? Jika ia sekadar tempat persinggahan sementara.
Baginda Nabi ﷺ kemudian mula jatuh sakit. Kepanasan suhu tubuhnya meningkat. Namun masih terus solat berjemaah selama 13 atau 14 hari bersama para sahabat.
Minggu terakhir, walaupun semakin tenat, baginda Nabi ﷺ masih bertanyakan “Giliranku esok di mana?” menandakan baginda sangat prihatin tentang tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Lima hari sebelum kewafatan.
Empat hari sebelum kewafatan.
Sehari dua sebelum kewafatan.
Dan hinggalah tibanya hari kewafatan tersebut, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11 Hijrah.
Subuh Isnin 12 Rabi’ul Awwal itu baginda Nabi ﷺ menyelak tabir yang memisahkan bilik baginda ﷺ dan ruang solat di Masjid. Wajah itu mengubat rindu semua para sahabat setelah tiga hari tidak berimamkan Nabi dalam solat mereka, namun disuruh Abu Bakr kekal menjadi imam untuk menyempurnakan solat.
Sempat baginda Nabi ﷺ berjumpa dan berpesan kepada isteri-isterinya,anaknya dan cucu-cucunya.
Ketika para sahabat menyangka di sebalik tirai itu tadi adalah senyuman kesembuhan, siapa sangka rupanya itu senyuman perpisahan.
Dhuha Isnin 12 Rabi’ul Awwal itu, di dalam detik-detik terakhir, Aisyah menyandarkan baginda ﷺ ke ribaannya, dalam pembaringan itu baginda ﷺ masih sempat bersugi, mencelup tangan di dalam bekas air lalu menyapunya di muka.
Baginda ﷺ kemudian mengangkat tangannya atau jarinya serta mendongak ke bumbung sambil bibirnya bergerak (berdoa).
مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي، وَأَلْحِقْنِي بِالرَّفِيقِ الأَعْلَى اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى
Maksudnya: “Bersama orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka daripada kalangan para nabi, orang-orang benar (orang yang beriman), orang-orang syahid dan orang-orang soleh. Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku serta pertemukan aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi.”
Baginda ﷺ mengulangi kalimah akhir “Kekasih Yang Tertinggi” tersebut sebanyak tiga kali:
اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى
اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى
اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى
Kemudian tangan baginda ﷺ terkulai layu dan baginda ﷺ pun pergi menghadap Kekasih Yang Tertinggi.
Ketika kesedihan menyelubungi para sahabat, ada yang nafi dan tidak dapat menerima berita dahsyat tersebut, tidak mungkin Nabi ﷺ boleh wafat.
Datanglah Abu Bakr untuk berpesan, “Barangsiapa di kalangan kamu yang menyembah Muhammad ﷺ, maka sesungguhnya Muhammad ﷺ telah wafat, tetapi barang siapa di kalangan kamu yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah hidup dan tidak mati..”.
Para sahabat radhiyallahu anhum tidak bergembira hari itu, tetapi ada mereka yang baru tersedar, bermuhasabah dengan pemergian dan perpisahan ini.
Nabi ﷺ memilih untuk bersama dengan Kekasih Yang Tertinggi.
Sungguh berita kewafatan ini telah menjadikan seluruh ruang bumi Madinah itu kelam dan gelap gelita dengan kesedihan yang amat.
Sungguh berita dahsyat ini mengajar hati dan perasaan kita, agar menyimpan hasrat kecil dan bermimpi, mengharap di penghujung kehidupan ini untuk dapat turut dikumpulkan bersama ar-Rafiq al-A’la.
Sumber : facebook Ezry Fahmi
Untuk info lebih lanjut Panduan Umrah dan Haji yang lengkap dan terkini, download aplikasi UmrahHaji.com di GooglePlay, Apple Appstore, dan Apps Galeri.