skip to Main Content

RASULULLAH SAW : MUHAJIR ATAU PELARIAN?

 

1. Dalam mengulas sesuatu kenyataan yang dibuat oleh ahli politik, saya akan cukup berhati-hati dan tidak tergesa-gesa supaya tidak terperangkap dengan sentimen kebencian atau taksub kepartian.

Saya akan cuba memejamkan mata meneliti, sekiranya kenyataan itu diluahkan oleh pihak lain atau tokoh yang kita gemari, adakah penerimaan, ulasan dan reaksi kita akan serupa atau tidak?

Saya akan cuba membaca atau mendengar keseluruhan ucapan, supaya memahami konteks yang cuba disampaikan olehnya, lalu membuat ulasan seadil mungkin sebagaimana yang dituntut oleh agama.

وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْ‌ۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۖ
“Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. (Bahkan) berlaku adillah (kepada sesiapa jua), kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa” [al-Maidah: 8].

2. Setelah saya meneliti kenyataan penuh YB Mat Sabu, saya mendapati beliau cuba menyampaikan tentang isu pembelaan terhadap pelarian umat Islam kerana situasi buruk yang berlaku di negara mereka dan penekanan untuk memerangi sindiket yang memanipulasi pelarian.

Umumnya ia merupakan seruan yang baik, apatah lagi di kala tidak banyak negara-negara Islam yang mampu menawarkan pembelaan atau perlindungan yang berkesan terhadap pelarian muslim yang tertindas.

3. Namun beliau telah diminta untuk menarik balik penggunaan kalimah “pelarian” yang digunakan terhadap baginda Nabi SAW dan para sahabat RA ketika cuba mengajak untuk tidak memperlekeh status pelarian, kerana ia boleh mengundang kekeliruan.

Barangkali YB Kota Raja terkhilaf kerana beranggapan pelarian itu sama seperti penghijrah, berdasarkan ucapannya: “…khasnya Nabi Muhammad SAW yang menjadi pelarian ATAU penghijrah…”.

4. Perkataan “pelarian” barangkali kedengaran agak sensitif kerana beberapa persepsi negatif yang wujud dalam benak masyarakat kita berikutan beberapa masalah yang telah ditumbulkan oleh beberapa warga asing di negara kita, sedangkan status pelarian baik positif atau negatif itu bukan terletak pada sikap mereka, sebaliknya apa yang telah menimpa mereka di tempat asal seperti jenayah perang, pembersihan etnik, penindasan dan sebagainya.

5. Pelarian bukanlah status yang negatif atau hina. Tiada siapa yang minta menjadi pelarian. Namun status pelarian tidak tepat untuk digunakan terhadap Rasulullah SAW, kerana baginda hakikatnya tidak melarikan diri ke Madinah. Sebaliknya baginda tidak keluar dari bumi Makkah sehinggalah mendapat arahan dan keizinan dari Allah.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, ketika Abu Bakr RA sedang mempersiapkan dirinya untuk berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW memintanya untuk menangguhkan dahulu kerana baginda sedang menanti keizinan dari Allah dan sekiranya mendapat kebenaran, baginda ingin supaya sahabat baiknya itu dapat bersamanya.

6. Sebab kedua mengapa status pelarian tidak sesuai ditempelkan kepada Rasulullah SAW ialah, kerana baginda telah dijemput dan dipelawa oleh kaum Ansar di Madinah ketika Perjanjian ‘Aqabah Kedua, tahun ke-13 kerasulan. Ketika itu ramai yang telah memeluk Islam di Madinah hasil dari dakwah Mus’ab bin ‘Umayr RA dan sahabat-sahabatnya, sehingga membuatkan mereka sering tertanya-tanya; sampai bilakah mereka akan terus membiarkan baginda di Makkah dalam keadaan sentiasa menjadi sasaran ancaman kaum Quraysy Makkah??

Isu tersebut kemudiannya dibincangkan bersama dengan pakcik baginda al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib. Antara kandungan perbincangan tersebut ialah, orang Islam Madinah bertanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, sekiranya Allah telah memberikan kepadamu kemenangan nanti (di Madinah), adakah kamu akan kembali kepada kaummu (di Makkah) dan meninggalkan kami?”.

Hal ini menunjukkan warga Madinah telah menawarkan status kehormat kepada baginda, bukannya status pelarian.

7. Namun tidak dinafikan, Rasulullah SAW pada asalnya tidak berhasrat meninggalkan Makkah bumi kelahirannya. Baginda bertindak demikian kerana penindasan dan penentangan masyarakat Makkah terhadapnya. Justeru baginda pernah bersabda:

وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ، وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ! وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ
Demi Allāh, sesungguhnya kamu (Bumi Makkah) merupakan sebaik-baik bumi Allāh dan [merupakan] bumi yang paling dicintai oleh Allāh! Kalaulah tidak kerana aku dihalau keluar darimu, nescaya aku tidak akan keluar” [riwayat al-Tirmidzi].

8. Barangkali kekeliruan antara status “penghijrah” dan “pelarian” terjadi, kerana kedua-duanya melakukan pengorbanan meninggalkan tanah air dan berpindah untuk mencari peluang yang lebih baik, walaupun pelarian lebih terpaksa atau terdesak untuk melakukannya demi memelihara nyawa diri dan keluarga.

Keadaan itu itu pernah dialami oleh orang Islam Makkah yang memaksa mereka berhijrah ke Habsyah. Sedangkan penghijrahan ke Madinah pula lebih kepada mencari ruang dan peluang untuk menyebarkan dakwah dan menguatkan agama Islam sebagai satu perancangan strategik, kerana Rasulullah SAW pernah diperlihatkan oleh Allah akan sinar Madinah yang bakal menjadi pasak Islam suatu hari kelak.

9. Namun hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat RA ke Madinah ketika itu sangat simbolik dan begitu bermakna. Justeru hijrah Makkah-Madinah dan ganjarannya itu terhad pada tempoh tertentu, iaitu sebelum pembukaan kota Makkah sebagaimana sabda baginda:

لا َهِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ
“Tiada lagi hijrah selepas pembukaan (kota Makkah), namun (yang pasti berterusan adalah) jihad dan niat” [riwayat al-Bukhari].

10. Kesimpulannya, istilah yang lebih tepat digunakan terhadap Rasulullah SAW dan para sahabat baginda adalah sebagaimana yang digunakan oleh Allah dan Rasul, iaitu “penghijrah (المهاجرون)” dan bukannya “pelarian (اللاجئون)”.

 


 

Sumber : facebook Ust Kamilin Jamilin – Seni hadith

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top