skip to Main Content

TH LANTIK 22 SYARIKAT SEBAGAI PENGELOLA JEMAAH HAJI MUSIM 2021

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi lesen haji kepada 22 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel and Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi 2021.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada pelan persediaan awal haji yang dilakukan oleh lembaga berkenaan.

“Setakat hari ini, Kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1442H/2021M (2021) daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Oleh itu, semua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan TH, hari ini.

Selain THTS, syarikat berkenaan ialah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Al-Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel & Tours Sdn Bhd, CS Holidays Sdn Bhd, Citra Travel & Tours Sdn Bhd, Eiman Travel & Tours Sdn Bhd, Gemilang Travel And Tours Sdn Bhd dan Jad Travel & Tours (M) Sdn Bhd.

Syarikat lain ialah Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Masmas Travel & Tours Sdn Bhd, MIMM Travel & Tours Sdn Bhd, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd, Syarikat Pelancongan Yaskin Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd, TRI-D Travel & Tours Sdn Bhd, UTAS Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd.

Syed Saleh seterusnya mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, kerana lembaga itu tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran serta pakej haji,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH, baru-baru ini, diberikan taklimat berkaitan norma baharu pelaksanaan ibadah haji pada musim pandemik COVID-19.

Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh disemak di laman web rasmi TH (www.tabunghaji.gov.my) manakala bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.– BERNAMA


 

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/800280/th-lantik-22-syarikat-sebagai-pengelola-jemaah-haji-musim-2021?fbclid=IwAR2YqPNB3YvubJbhA9YXVMPNKWwXL5Ky7XhkuDjfcNcWg3SrrqGXQhuQ6VQ

Pakej Umrah & Haji Terkemuka di Malaysia
Platfrom inisiatif untuk membantu para bakal jemaah haji dan umrah yang dibangunkan oleh Akram Afifi Holdings Sdn Bhd. Ikuti kami di media sosial yang tertera di bawah.

Copyright © umrahhaji.com - All Rights Reserved.

Back To Top